WELLINGTON: Beberapa siri gempa susulan melanda bandar Christchurch semalam, bandar yang pernah dilanda gempa bumi besar Februari lalu, meruntuhkan satu bangunan di antara beberapa lagi bangunan yang masih berdiri di kawasan bandar dan menyebabkan bekalan elektrik di beribu-ribu kediaman terputus.
Kira-kira 200 orang berada di kawasan gempa bumi semalam dan dua mangsa masih terperangkap dalam gereja, manakala 10 lagi cedera.
Penduduk di bandar itu keluar dari bangunan dalam keadaan panik apabila gempa berukuran 5.2 magnitud melanda ketika waktu makan tengah hari, dan sejam kemudian gegaran berukuran 6 magnitud melanda, menurut Kajian Geologikal Amerika Syarikat.
Di pusat bandar dan pinggir bandar, beberapa bangunan turut rosak. Akhbar NZ Herald melaporkan 50 bangunan berkemungkinan runtuh dalam kejadian gempa bumi itu. Gegaran turut dirasai sejauh Wellington dan Invercargill. Terminal lapangan terbang Christchurch kembali dibuka tetapi pemeriksaan landasan diteruskan. Penerbangan dijangka lewat. Jambatan di Jalan Gayhurst, Avonside turut runtuh berikutan gempa itu, manakala beberapa lagi jambatan ditutup. Stesen bersejarah Lyttelton Timeball Station yang rosak dalam gempa bumi Februari lalu turut runtuh. “Semua kedai runtuh. Separuh daripada bumbung jatuh tetapi tidak runtuh keseluruhan,” kata pekerja Domino’s Pizza, Renee Murray. Bandar itu digegarkan ratusan gempa susulan sejak gempa bumi berukuran 6.3 magnitud membunuh 181 orang pada 22 Februari. Seperti gegaran sebelum ini, dua gempa besar semalam terjadi dalam hanya dalam kedalaman 10 kilometer, menurut USGS. Kira-kira 47,000 kediaman di timur bandar mengalami gangguan tenaga elektrik ketika penduduk berdepan dengan cuaca musim sejuk. Batu bergolek menuruni bukit di kawasan paling teruk dilanda gempa pada Februari apabila mendapan menggelembung dari bumi, satu proses yang dikenali sebagai ‘liquefaction’ yang kadangkala terjadi ketika kejadian gempa.
No comments:
Post a Comment